Monday 14 October 2013


Dengan kuasa Mu

Sejak ibu dan ayah meninggal dunia Imanlah yang menggalas segala tanggungjawab sebagai anak sulung Iman harus menerima semua ini dengan tabah namun ujian datang bertali arus apabila Iman terpaksa meninggalkan pengajiannya demi mencari sesuap nasi meneruskan hidup dan masa depan sepasang adik kembarnya iaitu Arfan dan Irfan yang masih bersekolah. Walau perit tapi Iman terpaksa melupakan cita-citanya.
Iman: Arfan sudah-sudahlah baca komik tu, cepat pergi mandi maghrib dah nak masuk ni..
Arfan: kejap la along 15 minit lagi nak masuk waktu..
Iman: Arfan! (suara agak tegas tapi masih terkawal emosi)
Arfan: ye lah nak pergi la ni..
Iman: cepat siap lagi 5 minit along tunggu kat depan kita pergi jemaah di masjid, jangan lupa bawa irfan sekali.
10 minit kemudian…
Irfan: along…Ooo along!
Arfan: Oi buta kau jerit-jerit kenapa?
Irfan: er, maaf abang Arfan petang tadi Along kata nak pergi jemaah di masjid.
Arfan: ish, along dah tunggu kat depan sana la, jom!
Irfan: oh yeke…baik abang..
Arfan: Oi, kau ni dah tau buta main redah je kan? Habis kau langgar, sini la aku bawa kau!
Irfan: maaf abang Arfan.

Begitulah layanan Arfan terhadap adik kembarnya Irfan yang kehilangan penglihatan sejak kemalangan yang membunuh ibu dan bapa mereka. Nasib Iman dan Arfan baik kerana terselamat dalam kemalangan tersebut tetapi tidak kepada Irfan kehilangan nikmat yang satu itu cukup memukul naluri kanak-kanaknya ketika itu dan kini Irfan sudah biasa dan sudah lali dengan layanan abang kembarnya Arfan tetapi tidak pada Iman along mereka itu mencurahkan kasih sayang tak ubah seperti mentari yang tak pernah lelah membias cahaya buat pohon-pohon.
Di suatu petang yang tenang..

Irfan: along…
Iman: eh, mana Irfan tahu along yang datang sedangkan along tak bersuara pun?
Irfan: dari derapan kaki, firasat irfan tau along ada di sebelah Irfan walau along diam.
Iman: Maha suci Allah, naluri Irfan dan kepekaan deria Irfan memang baik.
Irfan: kuasa Allah along, em…along balik awal hari ni?
Iman: ye dik, along minta kebenaran Pak Yahya balik awal, along nak ke pesan kejap jumpa kawan. Irfan baca apa tu?
Irfan: Irfan baca biografi Muhammad S.A.W. Alangkah indahnya jika Baginda masih ada bersama kita kan along?
Iman: ye memang indah dik, tapi kita bertuah sebab walaupun kita tak pernah bersama baginda tapi kitalah umat baginda yang paling bertuah.
Irfan: kenapa kita umat yang bertuah ye along?
Iman: sebab walaupun  kita tak pernah menatap wajah baginda tapi kita tetap sayang dan mengamalkan ajaran baginda, em..Irfan tak nak ajar along ke baca tulisan Braille?
Irfan: beruntungnya kita. Boleh along, mari Irfan tunjukkan.
Petang berlalu meninggalkan siang dan senja pula bertandang menanti malam..

Iman: Arfan, dah senja baru nak balik, kau ke mana?
Arfan: pergi rumah Zul tengok motor baru yang ayah dia belikan hadiah hari jadi.
Iman: tak habis-habis melepak dengan kawan tak boleh ke lepas waktu sekolah kau duduk rumah baca buku dengan Irfan? Ni merayap je..
Arfan: ( eleh, dia tu buta memang la tak boleh nak merayap) ejek h hati Arfan denga bebelan alongnya. Along, Arfan nak motor boleh tak?
Iman: Along tak cukup duit, lagi pun nak buat kau ada motor? Sekolah bagi habis..along pun guna motor lama arwah ayah tu je untuk pergi kerja kat kebun Pak Yahya tau.
Arfan: Along ni kalau apa yang Arfan cakap semua tak elok apa yang Arfan nak semua tak boleh, bosan!
Iman: sebab apa yang keluar dari mulut kau tu semua nak membinasakan diri kau dan apa yang kau nak semuanya kau tak fikir untuk kebaikan, faham?
Arfan: along pilih kasih, kalau si buta tu semua ok kan? Yela dia baik Arfan jahat selalu tak dengar kata!
Iman: Astaghfirullah Arfan kau tau tak si buta yang kau cakap tu siapa? Adik kembar kau, adik along. Arfan dan Irfan adik-adik along. Kalau along tak sayang kau dah lama along serahkan kau pada rumah kebajikan tau!
Arfan terdiam sejenak tersedar akan perkataannya yang telah membangkitkan rasa marah along mereka yang penyabar itu.
Arfan: Arfan minta maaf along, Arfan tak berniat nak buat along rasa marah.
Iman: sudahlah tu Arfan kau pergi solat cepat, Maghrib dah nak habis ni.,
Iman beristighfar panjang menahan marah pada Arfan ingin saja tangannya melayang hingga ke pipi adiknya tapi ditahan agar keadaan tidak bertambah ribut. Arfan yang berlalu mendiamkan diri di dalam bilik termenung kosong dan dari pintu bilik yang terkuak dia memerhatikan alongnya dan Irfan sedang berbual mesra. Bertambah sakit hati Arfan melihat kemesraan itu.
Ketika di kedai kopi Pak Karim..

Pak Seman: kamu tengok tu Yahya si Iman tak habis-habis bawa budak buta tu..
Pak Yahya: biar la Seman budak tu kan adik dia lagi pun budak tu tak nampak dah jadi tanggungjawab dia la menjaga budak tu.
Pak Seman: kalau aku la ada anak macam tu ish, dah lama aku hantar kat rumah kebajikan, menyusahkan je orang macam tu..
Pak Yahya: Astaghfirullah Seman selama budak Irfan tu jadi buta pernah ke dia menyusahkan kamu? Budak tu pun tak minta dia jadi macam tu..
Pak Seman: hm..kamu cakap macam tu sebab si Iman tu bekerja dengan kamu kan? Yang penting anak aku tak ada yang oku.
Pak Yahya: MasyaAllah aku cakap macam ni bukan sebab si Iman tu pekerja aku tapi ini atas sebab kemanusiaan. Memang la anak kamu bukan oku tapi kalau dah merempit sana merempit sini dengan motor dah macam tak ingat dunia macam mana pula? Anak kamu si Zul tu sekolah lagi kamu nadihatkan dia Seman sebelum terlambat.
Petang di hari minggu biasanya Arfan akan bersama teman-temannya tapi petang itu dia hanya ingin bersendirian di tepi sungai di kampung sebelah membuatkan dia berasa tenang dari kegalauan jiwa. Pak Seman yang baru pulang dari kebunnya ternampak Arfan lalu terus menghampiri remaja itu.
Pak Seman: menung jauh nampak, ada masalah agaknya?
Arfan: eh, Pak Seman, tak ada la saja rehat-rehat kat sini.
Pak Seman: selalunya orang yang rehat di tempat macam ni seorang diri biasanya nak lari dari masalah. Kamu ada masalah kan?
Arfan: biasalah Pak Seman hidup remaja macam saya ni memang penuh konflik.
Pak Seman: berat bunyinya, cuba kamu ceritakan pada Pak Seman mana tahu Pak Seman boleh bantu ringankan.
Arfan: along tu selalu beza-bezakan saya dengan si buta tu, maksud saya Irfan. Setiap hari ada je salah saya yang along tegur tapi si Irfan tu along selalu manja-manjakan dia!
Pak seman: oh, Pak Seman dah agak dah mesti masalah pasal si buta tu kan? Kamu tak boleh nak salahkan along kamu tu Arfan dia dah banyak berkorban untuk kamu berdua.
Arfan: tu saya tahu, saya kesian juga dengan along terpaksa bekerja dengan Pak Yahya untuk sara kami tapi saya tetap tak suka Irfan!
Pak Seman: boleh Pak Seman nak tahu kenapa kamu benci sangat dengan kembar kamu yang buta tu?
Arfan: saya malu ada kembar yang cacat Pak Seman, saya tak boleh terima!
Pak Seman: dulu masa si Irfan tu baru buta ada lah juga Pak seman cadangkan pada along kamu supaya hantar Irfan tu ke rumah kebajikan. Bukan apa Pak Seman Cuma tak nak along kamu tu terbeban cukuplah dia jaga kamu seorang tapi along kamu tu degil..
Arfan: betul ke Pak Seman?
Pak Seman: iye la, Pak Seman dah nak panggil orang kebajikan datang ambil budak tu tapi along kamu haling bukan kata nak ucap terima kasih lagi dia marahnya Pak Seman.
Arfan: along tu memang degil dan suka menyusahkan diri..
Pulang sahaja dari sungai Arfan terus meluru ke dapur ketika itu Irfan baru sahaja selesai mengambil wudu’ dan dengan berhati bergerak menuju ke bilik namun pergerakan Arfan yang lebih pantas menuju ke dapur lalu terus melanggar Irfan.
Arfan: ish si buta ni mana aku ada kat situ la kau ada!
Irfan: aduh! Maafkan Irfan abang…
Arfan: tak payah nak tunjuk baik la, kau tu sampah masyarakat tau tak? Memang tak boleh buat apa-apa kerja kau duduk, makan lepas tu tidur!
Iman: Arfan!! Setan apa yang dah rasuk kau ni ha?!
Arfan: ye memang Arfan dah dirasuk setan tapi setan si butan ni!
Iman: Kurang ajar!
Satu tamparan singgah ke pipi Arfan kali ini marah Iman tak terbendung lagi. Irfan hanya tertunduk merasakan dialah punca Arfan bertindak ganas dan berkurang ajar dengan along mereka.
Arfan: sampai hati along tampar Arfan sebab si buta ni kann? Kenapa tak dari dulu along hantar dia ke rumah kebajikan? Kenapa along nak susahkan diri jaga si buta ni?
Iman: sebab kau berdua adik along, susah senang biar along yang tanggung, kau berdua tanggungjawab along faham!
Arfan: along rela jaga si samjpah ni? Kalau along ikut cakap Pak Seman letak dia kat rumah kebajikan hidup kita dah senang dah along.
Satu lagi tamparan hinggap ke pipi Arfan..
Iman: si buta yang kau kata sampah ni adik kau, masa ibu mengandungkan kau berdua duduk dalam satu uri yang sama tahu tak?!
Arfan: Arfan benci along!
Dalam kegelapan malam Arfan berlari keluar dari rumah dengan hati terluka jiwanya diamuk perasaan benci yang mendalam terhadap Irfan. Tiba-tiba Arfan telah dilanggar oleh sebuah motorsikal yang menunggungnya dengan laju dan penunggang tersebut terus melarikan diri apabila melihat Arfan sudah terbaring di tepi jalan dan tak sedarkan diri.
Seminggu kemudian…
Arfan: Irfan, abang nak minta maaf selama ni abang banyak sakitkan hati Irfan, abang banyak buat dosa dengan kau..
Irfan: tak mengapa abang, Irfan faham Irfan banyak susahkan abangkan? Setiap manusia tak lari dari membuat kesilapan hanya kekasih-Nya yang maksum dalam dunia ni abang Arfan.
Arfan: terima kasih dik kau sangat baik hati, sekarang Allah dah balas balik semua kejahatan abang.
Irfan: abang ucapan terima kasih hanya layak untuk Allah bersyukurlah kerana abang masih diberi peluang.
Arfan: abang dah lumpuh Irfan..abang kesal dengan kebodohan abang.
Irfan: sudahlah abang Arfan anggap saja ini kifarah dari Allah, along selalu kata setiap orang yang beriman pasti diuji Allah untuk melihat kekuatan imannya.
Iman: Assalammua’laikum adik-adik along, bual apa tu? Kutuk along ye?
Arfan: waa’laikummussalam along ish tak ada lah along..
Irfan: tak baik fitnah tau along, kami Cuma cakap benda-benda yang mendatangkan pahala je tau…
Iman: Alhamdulillah, ni along ada berita gembira untuk Irfan.
Irfan: berita gembira apa along?
Iman: cerpen “aku dan cahaya” yang Irfan karang jadi johan dalam pertandingan karang cerpen remaja anjuran Karang Kraf, ni dah keluar di surat khabar nama-nama pemenangnya.
Irfan: Maha suci Allah..Alhamdulillah…
Iman: along tak sangka Irfan ada bakat dalam penulisan.
Arfan: tahniah Irfan…
Irfan: dengan izin Allah, terima kasih abang Arfan.
Iman: tahniah Irfan along ucapkan, pagi tadi pihak Karang Kraf ada telefon along, mereka nak jemput Irfan untuk temu bual dan mereka akan masukkan temu bual tu dalam majalah Remaja. Irfan salah seorang remaja oku yang gigih dan boleh dijadikan contoh untuk remaja celik diluar sana…em itu la kata mereka. Lagi satu pihak Karang Kraf nak Irfan karang cerpen remaja untuk diterbitkan.
Irfan: Alhamdulillah berkat doa along dan abang Arfan juga ni…
Iman: Arfan, kawan along masa di universiti dulu cadangkan Arfan belajar melukis, along setuju dengan cadangan dia sebab along tau Arfan memang ada bakat melukis betul tak, Arfan setuju?
Arfan: betul ke along? Tapi macam mana Arfan nak bergerak dengan kerusi roda ni?
Iman: jangan risau kelas melukis tu kawan along yang buka, tak jauh pun dekat pecan ni je…along yang akan uruskan Arfan nanti ye..
Arfan: terima kasih along, Arfan malu dengan along dan Irfan. Orang yang Arfan fikir jahat dulu orang tu la yang bekorban untuk Arfan sekarang.
Iman: sudahlah tu Arfan tak perlu ceritakan pekara yang dah lepas, em…along ada berita yang tak baik tentang kawan Arfan Zul
Arfan: Zul? Kenapa dengan Zul along sejak Arfan macam ni Zul hilang tanpa khabar.
Iman: kata Pak Yahya Zul ditangkap polis dan sekarang masih ditahan.
Arfan: Astaghfirullah, apa kesalahan dia along? Macam mana dengan Pak Seman bila tahu hal Zul?
Iman: dituduh atas kesalahan langgar lari seorang remaja lelaki dan menyebabkan remaja tu mendapat kecacatan kekal. Along rasa Zul lah yang langgar Arfan hari tu.
Irfan: ish, along ni tak baik menuduh along..
Iman: betul dik, semasa kejadian ada saksi yang nampak Zullah penunggang motorsikal tu.
Arfan: jadi sebab dialah Arfan terpaksa menanggung semua ni ye along?
Iman: Arfan maafkanlah Zul ye, tak silap along masa hari kejadian dia sedang dikejar polis sebab disyaki memiliki dadah.
Arfan: Ya Allah, habis dia dituduh atas dua kesalahan la ye along, memiliki dadah dan langgar lari?
Iman: ye, Pak Seman terus diserang strke bila dapat tahu hal ini, along simpati dengan dia sekeluarga.
Irfan: jadikan semua ni iktibar untuk kita along, setiap yang baik akan dibalasa baik begitu juga sebaliknya.
Iman: betul tu, Arfan..Irfan along ditawar jadi guru agama di sekolah agama kat kampung sebelah..insyaAllah awal bulan depan along mula kerja.
Irfan: Alhamdulillah…
Arfan: Alhamdulillah, oo kalau macam tu along ni bakal ustaz la ye? Hehe
Iman: ish, tak adalah ilmu agama along masih cetek tak layak digelar ustaz…
Irfan: tapi alongkan bakal jadi guru kat sekolah agama tu secara tak langsung mereka akan panggil along ustaz kan..kan?
Iman: walau apa pun along tetap bangga dengan adik-adik along, kalau la arwah ayan dan ibu ada mesti dia gembirakan?
Arfan: along, ayah dan ibu sentiasa dengan kita Cuma kita je yang tak nampak sebab kita dihijab dua dunia yang berbeza.
Irfan: qudrat Allah, Dia tak akan membiarkan hambaNya yang beriman terus berduka, janji Allah adalah pasti.
Iman: tidak masuk ke syurga seorang yang beriman itu sebelum dia diuji, Allah sentiasa bersama mereka yang sabar. Waktu Assar pun dah masuk jom kita jemaah..

Iman memanjatkan rasa syukur yang tak terucap olehnya atas rahmat yang telah Allah campakkan kepada mereka adik-beradik, sejak dari kejadian Arfan dilanggar lari yang menyebabkan dia terpaksa berkerusi roda seumur hidup membuatkan dia sedar betapa agungnya qudrat Tuhan dan perhubungan mereka semakin erat inilah anugerah yang Esa Pemilik langit raya dan alam jagat..


Nurkilan - Zara Faihanah...

12 April 2013...
Sebuah Perjuangan

Maha suci Allah menciptakan dia,
Rasul yang menerangi kehidupan insan,
Yang menyuluh hati nurani yang hitam didakap
Persembahan yang palsu,
Tuhan-tuhan yang mereka ciptakan latayakuza yang mereka
Agung-agungkan,
Longlai dia dalam takut yang dahsyat oleh perintah,
Bacalah wahyu pertama,
Dari Pertama yang tak pernah bersua wajah,
Diselimutkan oleh isteri yang setia,
Hingga tergelar dia orang berselimut,
Dalam wahyu perutusan yang nyata,
Untuk bangun menyucikan dan membesarkan nama Tuhan yang menciptakan alam semesta,
Dikerah segala kudrat,
Segenap jiwa hingga tegak teguh dan cekalah menjaja setiap diri sekalian insan,
Biar dilanda segala derita segala seksa menggagahkan kebesaran dankeagunggan Ilahi.
Menzahirkan erti dan makna kerasulanya,
Cintanya dalam tiada bertara,
Kepada seluruh ummat sekalian alam biar mereka mengerti maksud kehidupan,
Biar mereka mengisbarkan Allah yang Esa,
Biar sesiapa pun bisa derita yang dahsyat tak terperi selepas kematian,

Hari ini dia telah tiada,
Sedang seluruh ummat bagai pelupa menuju kemurkaan Tuhan,
Apakah perlu dipanggil kembali Saidina Abu Bakar atau Umar Al-Faruk?
Dengan segenap jiwa raga atau kita yang perlu mengorak langkah?
Melihat jauh-jauh kedalam diri,
Kitalah pemegang amanah silam,
Kitalah pejuang menegakkan kebenaran,
Dibahu kitalah tertanggungnya tugas kerasulan,
Kerana kitalah ummat Muhammad rasul pilihan,
Menuju rahmat dan kerahiman Ilahi,

Pada sebuah kehidupan yang tak pernah berpenghujung….

Nurkilan - Zara Faihanah..


Ledakan jiwa
Duhai ayah,
Tahukah kau rindu ini kian memberat,
Ayah…adakah kau terima setiap titisan mutiara kiriman ku,
Tiap titisan embun rindu ku kira bisa membahagiakan mu,
Sekudus bening pagi cinta ku titipkan,
Moga menguntum harapan ketenangan dalam lena yang panjang,
Tiada serupawan bidadari,
Tiada seindah bicara,
Dan tiada jua semegah kurnia,
Ku kira ia bisa melegakan ledakan satu jiwa,
Yang menanti dinginnya Al-kauthar,

Duhai ayah,
Tahukah kau rindu ini kian menunjangi jiwa?
Selaksa doa bersama ribuan amal,
 Titisan mutiara yang menjaja diri pada mu,
Agar menyaljukan kasih ku pada mu,

Duhai ayah,
Aku tahu kau tahu apa yang aku rasa,
Andai kau berada di sisi pasti jemari kasar mu mengusap rambut ku,
Penuh cintaayah beribu kepahitan telah aku telan,
Berjuta rasa terpaksa aku mamah,
Demi melakukan satu kebaikan,
Selaut bergelora perlu aku hadapi,
Ayah, kini aku mengerti…
Payahnya hidup ini,
Ayah, jika syurga balasannya aku redha,
Kerana jani Allah adalah pasti buat yang beriman…

Nurkilan – Zara Faihanah


7 Zulhijjah 1434…

Thursday 8 August 2013

Bayu Damai

Pelayaran merentasi lautan tak bergelora,

Perjalanan melewati benua tiada beraral,

tiba saat menungkah angin nan tak berbadai,

aku menyusuri laluan barakah menyucikan hati yang hina,

saat menginjak tanah bumi anbia,

jiwa ku disapa bayu damai mujahadah,

terhidu jua aroma Raudah meresap di pangkal nyawa,

dingin yang sukar ku damba,

di sinilah tertegaknya Islam,

dalam lipatan sejarah bersama mu…duhai Rasul Allah,

biar hilang ditimbus sang waktu,

namun tiadalah luput di jiwa kami..ummat mu yang

rindu dengan sangat cahay di wajah mulia mu,

al-munawarah terukir cinta di hatiku,

kami datang duhai Allah,

kami datang memenuhi panggilan Mu,

hati hina ku bawa mengadap Mu yang Maha Mulia,

bertakzim di hadapan Mu merafa’kan syukur,

indah kaabah Mu mampu merembeskan air mata ku,

tenang seolah Kau cabut segala gelisah di hati,

terik memanah ubun-ubun tak terasa bahang,

itulah kasih sayang Ar-Rahman,

rawan meragut ketenangan ketika lambaian terakhir,

hiba memihit perasaan,

andai ku punya waktu sudilah duhai Allah..

menjemputku kembali,

kerana al-mukaramah semakin jauh semakin aku rindu…

(zara faihanah, 20 Ramadhan 1434)




Friday 12 July 2013

Sudut Gelombang Rindu

Pandangan ku terarah ke sudut itu,

Fikiran ku tertinjau-tinjau mencari kenangan,

Kenangan yang mengusik rindu bersimpuh  di balik ingatan,

Sayang..sudut itu semakin hilang diusung kelupaan,

Waktu berputar mengembalikan saat manis itu,

Tak semena-mena aku terhumban dalam ruang lingkup yang telah 
menjadi sejarah,

Dalam gulungan waktu aku rebah wujudnya kerinduan yang sukar dirungkai,

Tiada lagi gurauan mesra malah gersang dari kata-kata semangat,

Kemesraan ini tak mungkin berulang buat kedua kalinya,

Walau ia cuba di impi-impikan,

Jiwa ku terpempan oleh satu hijab kenangan lalu,

Jasadku berada di sini sedangkan jiwaku tertinggal pada ribuan detik yang tak kembali,

Kepiluan telah menebak jiwaku tanpa belas kasihan,

Lantas terkulai jua segenggam kekuatan,

Terjelepuk diasak gelombang kedukaan,

Tergunta-gunta melepasi garis derita itu,

Dalam tertatih terkais jua kekuatan walau tak mampu ku raih,

Dengan sekais semangat yang tercampak dari langit,

Aku mengorak impian agar kebahagian bakal bersemi,

Membebat parut yang masih tersisa,

Walau hanya secicip namun biar ia menjadi penawar,

Moga sudut suram itu kembali ceria disuluh keimanan,

Dan riuh mengembalikan cinta pada jiwa yang hilang,

Bersama hembusan kasih Ar-Rahman,

Kerana sudut itulah syurga buat aku buat kau dan dia malah buat kita semua!

Zara Faihanah, 3 Ramadhan 1434 

Sunday 28 April 2013


Rusuh Jiwa


Duhai Allah,

Indah sungguh belantara nan luas milik Mu ku tatap,

Ku hayati ajaibnya  makhluk ciptaan Mu,

Segar nikmat Mu ku hirup percuma,

Agungnya cinta Mu hatta merantai hati para murabbi,

Untuk setia bersama harapan syahid,

Wahai Ar-Rahman

 Usah biar aku terus dipalu deraman taghut laknatullah,

Menyerah sebelum berjuang,

Yang tak sabar pasti mundur lantas merusuhlah jiwa,

tak kenal debu kelam kabus cahaya,

sentakkan aku dengan laungan keramat Mu,

bisikkan kalam Mu yang bisa menggentar naluri hamba,

menjadi pendinding dari nafsu jahat melonjak,

Ya Rasulullah,

Alangkah sepi dunia dari mulia bicara mu,

Terlakar bait-bait sabda kasih mu di dada kitab suci,

Bukan sebagai galang ganti diri mu tapi sebuah wasiat,

Menyuluh langkah ummat tanpa kau di sisi,

Darah mujahid dibius semangat mu saat kecundang,

Ditujah kejahilan kejahatan manusia ingkar,

Wahai Cinta hati sekalian ummat,

Gemuruh kerinduan berdetak kencang,

Hasrat hati menujah ingin bertemu mu,

Ke tinggi langit ku julang jihad mu,

Salam serta selawat pengikat kasih,

Sepenuh taqwa merunduk sujud buat Yang Kholiq,

Sejurus mendamba kesempatan bersua dengan mu kelak..

Cinta agung lagi suci anugerah dari langit,

Usah biar aku keluyuran menanti syafaat mu..



Zara Faihanah, Selangor Darul Ehsan 29 April 2013





Prasasti Cinta




Saat menyusuli jalan itu,

Ingatan ku mula mencair,

Apa saja kisah lara yang bermukim dibenakku,

Sedekad membeku sehinggakan terpejat fikiran dan Iman ini,

Huluran lamaran cinta dari seorang hamba Ilahi yang taat,

Ku sambut dengan tadahan penuh syukur,

Serasa cinta kiriman dari syurga MU ya Rahman,

Cinta yang sedetik dan iltizam yang terpatri amat ku hargai,

Dan…Kini kau dimana, meninggalkan ku sendiri mengharungi kepayahan ini,

Pesan mu jangan meratapi jangan bersedih bila kau tiada,

Terhenti nafas ku menahan hiba yang hampir berguguran,

Tak layak untuk aku persoal pada Mu ya Robb mengapa aku ditemukan dengan insan luhur ini jika akhirnya terpisah,

Apatah lagi jika aku bertanya mengapa Kau mengambilnya setelah hatiku menjadi miliknya?

Maha suci Allah..kerana Mu kami bertemu dan kerana Mu jugalah kami berpisah,

Redha merelakan kau pergi dengan tenang,

Kata-kata cinta yang indah dari mu ku jadikan azimat,

Buat merawat kembali segenap iman yang hampir luruh,

Segenggam semangat yang kian melenyap,

Hati yang naïf  ini terikat dengan takdir tiada kepastian esok akan dimiliki,

Ya Jabbar…rahsia di hati hanya kau yang tahu,

Prasasti cinta Sang Putra menjadi tugu di kalbu,

Ku semadikan setia di lahad kasih dan sayang kita demi Lillahi taa’la,

Al-fatihah sebagai penawar diri yang tergugah dek pukulan rindu,

Ya Azim berikanlah aku bahagia,

Temukan aku pesona insan bersama cinta tulus sepertinya,

restu dari mu amat ku tagih yang menghalalkan cinta itu,

buat Sang Putra antara kita tiada yang berakhir,

cinta mu adalah kekuatan membangkitkan segala yang rebah,

penjara bertukar istana.. hati yang longlai berubah teguh,

suram kembali ceria..

walau kau di sana namun doa ku tetap selalu bersama,

gebar kasih sayang mu harum berbau syurga,

ku dakapnya sepenuh iman di jiwa,

terima kasih kerana hadir membuat hidup ku berasa sempurna,

Ya Hayyum..Ya Qayyum ku sandarkan cinta dan kasih sayang ku hanya pada Mu…

Zara faihanah, Selangor 9 April 2013


Tuesday 9 April 2013





MALAM PERTAMA DI ALAM BARZAKH

Oleh : Amru Alhaz Bin Adnan

Setiap detik pasti ada orang yang meninggal dunia dan pada setiap detik juga pasti ada bayi yang baru dilahirkan. Begitulah rutin kehidupan dunia ini. Yang hidup akan mati, yang pergi akan digantikan dengan yang baru. Kita di dunia adalah umpama seorang musafir yang singgah sebentar berteduh di bawah sebatang pokok. Kemudian dia akan meneruskan perjalanannya ke alam kubur ataupun alam barzakh. Menurut kamus Mukhtar al-Shahhah (????? ??????) oleh Abu Bakr al-Razi, barzakh bermaksud dinding pembatas antara dua benda. Berdasarkan (iktikad) Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah, setiap manusia akan berada di dalam satu alam yang dinamakan alam barzakh. Ia terletak di antara alam dunia dan alam akhirat. Hal ini bersesuaian dengan firman Allah S.W.T di dalam surah Al-Mukminun ayat 99-100:


Kesudahan golongan yang kufur ingkar itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia: “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia) - supaya aku mengerjakan amalan soleh dalam perkara-perkara yang telah aku tinggalkan". Tidak! Masakan kau akan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah kata-kata yang dia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka alam barzakh (dinding) hingga hari mereka dibangkitkan semula (pada Hari Kiamat).


Seseorang yang sudah mati dan berada di alam barzakh dapat menjangkakan sama ada dia akan mendapat kenikmatan atau kesengsaraan di akhirat kelak. Perkara ini disebut dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidzi, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:


"Sesungguhnya kubur itu ialah penginapan pertama antara penginapan akhirat, maka sekiranya seseorang itu terlepas dari seksaannya, maka apa yang akan datang kemudiannya akan lebih mudah lagi dan seandainya seseorang itu tidak terlepas (kandas) daripada (seksaannya), maka yang akan datang sesudahnya akan lebih sukar (keras, berat)."


Dr A’idh Abdullah al-Qarni menulis di dalam sebuah bukunya yang cukup terkenal bertajuk “Malam Pertama Di Alam Kubur”: Seorang penyair arab pernah mendendangkan syairnya:


Aku tinggalkan tempat tidurku pada satu hari, kemudian aku terserkap membisu. Aku telah berpindah dari satu tempat menuju tempat lain. Aku berangkat pergi dari ranjang tidur dalam istanaku menuju alam lain. Kubur adalah malam pertama. Demi Allah katakanlah apa yang terjadi pada malam tersebut .Yang Allah pasti mentakdirkannya pada setiap hamba.


Renungkanlah bagaimana perjalanan seseorang manusia akan berakhir di dalam kubur. Al-Rifa’i berkata: “ Setiap orang yang takut pada sesuatu pasti akan menghindarinya, kecuali kubur. Tidak ada orang yang ingin lari daripadanya melainkan dia akan datang kepadanya. Dia selalu menunggumu tanpa jemu, dan apabila engkau masuk ke dalamnya, engkau tidak akan kembali selama-lamanya. Renungilah nasib saudaramu yang kini telah dikuburkan: “Dahulu dia menikmati pemandangan yang indah, kini matanya telah tertanggal, dahulu lidahnya petah bertutur, kini cacing tanah telah memakan mulutnya. Dahulu dia sering tertawa, kini giginya hancur terbenam.”


Umar bin Abdul Aziz pernah berkata kepada beberapa orang sahabatnya di dalam satu majlis, Wahai fulan! engkau telah melepasi satu malam, adakah pernah kau terfikir tentang kubur dan penghuninya? Sekiranya kau tahu apakah keadaan sebenar di dalam kubur, pasti kau tak akan berani mendekatinya.


Pada suatu ketika pula , Umar bin Abdul Aziz mengiringi jenazah saudaranya. Apabila jenazah selamat dikebumikan, maka semua orang telah bersurai kecuali beliau dan beberapa orang sahabatnya yang masih tidak berganjak dari kubur tersebut. Tidak lama kemudia sahabatnya bertanya: Wahai Amirul Mukminin, kau merupakan wali kepada jenazah ini, mengapa engkau perlu menunggunya lagi sedangkan dia telah meninggalkanmu. Umar pun berkata: “ Ya, sesungguhnya kubur ini memanggilku dari belakang. Mahukah kalian tahu apakah yang dikatakannya kepadaku: Mereka menjawab “ Sudah tentu wahai Amirul Mukminin. Kubur ini memanggilku dan berkata, “ Wahai Umar bin Abdul Aziz, mahukan aku ceritakan kepadamu apakah yang akan aku lakukan kepada jenazah yang kau cintai ini? Ya, jawab Umar. Kubur itu menjawab: Aku akan bakar kain kapannya, aku robek badannya, aku sedut darahnya serta aku kunyah dagingnya.


Mahukah engkau tahu apa yang akan aku lakukan pada anggota badannya? Sudah tentu jawabku. Aku cabut satu persatu dari telapak hingga ke tangan, dari tangan ke lengan, dan dari lengan menuju ke bahu. Lalu aku cabut pula lutut dari pehanya, Peha dari lututnya. Aku cabut lutut itu dari betis. Dari betis menuju ke telapak kakinya.


Setelah mendengar penjelasan daripada kubur itu, Umar pun menangis dan berkata.” Ketahuilah sahabatku, umur dunia hanya sedikit. Kemuliaan di dalamnya adalah kehinaan. Pemuda akan menjadi tua dan yang hidup akan mati. Celakalah mereka yang tertipu olehnya. Celakalah aku, bagaimana keadaanku ketika bertemu malaikat maut, saat rohku meninggalkan dunia? Keputusan apakah yang akan diturunkan oleh Tuhanku. Dia terus menangis dan terus menangis, lalu pergi. Tidak berapa lama kemudian beliau meninggal dunia.


Antara syarat kemenangan dan kejayaan seorang hamba ialah mempersiapkan diri menghadapi kematian dan menyedari bahawa dirinya akan menjadi penghuni kubur. Tetapi ramai di kalangan kita mengabaikan peringatan dan ancaman yang berbahaya ini. Jika pun kita mengingati kematian, itu pun hanya dilakukan dengan sambil lewa. Tahukah saudaraku, mengapa ini berlaku. Hal ini berpunca disebabkan hati kita yang terlalu cinta dan sibuk dengan perkara dunia sehingga menyebabkan hati kita keras dan gelap dari cahaya.


Saudaraku sekalian, jalan Allah tidak dapat kita tempuhi dengan telapak kaki tetapi ia dapat ditempuh dengan kekuatan hati. Jika kita merasakan hati kita keras dan beku rawatilah ia dengan penjelasan dahsyatnya kubur. Rawatilah hati kita agar ia hidup kembali. Untuk merawat hati yang keras ini boleh dilakukan dengan melaksanakan beberapa perkara:


Pertama- Memperbanyakkan membaca al-Quran dan berzikir. Dengan cara ini hati menjadi hidup. Ketahuilah hati yang tidak pernah ataupun jarang jarang membaca al-Quran adalah hati yang mudah terpengaruh dengan tipu daya syaitan.
Kedua- Sentiasa merendah diri dan menangis di hadapan Allah. Kita hendaklah bersikap kepada Tuhan sebagai seseorang yang sangat memerlukan-Nya. Apabila kita ditimpa kesulitan, merintih dan berdoalah kepada-Nya.
Ketiga – Menghadiri majlis-majlis ilmu. Sedarilah, semakin tinggi ilmu agama seseorang semakin takut dia kepada Tuhan-Nya. Di samping itu juga elakkan diri dari menghadiri majlis-majlis yang tidak berfaedah dan membuang masa. Ini termasuklah majlis tari-menari dan juga konsert-konsert hiburan yang melalaikan.
Keempat- Mengingati mati. Seseorang yang sentiasa ingat akan kematian menyebabkan hatinya tertumpu kepada alam akhirat, sekaligus meremehkan dunia dan tidak panjang angan-angan.
Kelima- Menziarahi kubur. Jika hati kita tidak dapat disembuhkan dengan cara sebelum ini maka inilah cara yang paling berkesan dalam mengubati hati yang keras. Rasulullah s.a.w bersabda:


“Ziarahilah kubur kerana ia akan mengingatkanmu kepada kematian”. (Riwayat Muslim)


Kesimpulannya, jelaslah kepada kita bahawa kematian itu pasti, ia tidak tertangguh walaupun sedetik. Disebabkan kedatangannya merupakan satu misteri maka manusia hendaklah sentiasa berada dalam keadaan bersedia.


“Wahai orang tua yang telah bongkok punggungnya dan dekat ajalnya, apakah engkau telah bersiap sedia menghadapi malam pertama? Wahai pemuda gagah yang bergelimang harta, pangkat dan kuasa, apakah engkau telah mempersiapkan diri menghadapi malam pertama? Ia adalah malam pertama dengan dua wajah, mungkin menjadi malam pertama bagi malam-malam syurga berikutnya, atau menjadi malam pertama bagi malam-malam neraka selanjutnya.




Artikel ini pada asalnya ialah teks khutbah yang yang ditulis untuk terbitan JAKIM dan telah disunting untuk bacaan dalam bentuk artikel.


Monday 18 March 2013


Jampi Buat Bangsaku

بِسمِ اللَّهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

Aku tahukan asalmu ribuan tahun punya hak dan pertuhanan disini ,

Punya kekuatan ,

Punya peradaban ,

Punya kebenaran ,

Punya ketuhanan ,

Dan punya kebudayaan ,

Hai bangsaku ,

Aku tahu  akan asalmu akar jiwamu memegang darahku ,

Batang hatimu memegang tubuhku ,

Daun akalmu melitup zat dan sifatku ,

Bangsaku jangan mengubah rupa ,

Bangsaku jangan meleka sambil melewak utuh diuji sepanjang masa ,

Hai bangsaku seribu lupa selaksa sedar tawar lupa dari hikmatan kebendaan dan kepuraan dari hikmatan peniruan dan kesesatan ,

Tawar sekali dari bisa onar dan kemusnahan jika bisa pada jiwa ,

Tawar pada hati bisa pada akal ,

Tawar pada akal tawar lah pada segala wujud keperibadian kita ,

Pulang pulih seperti keadaan asal ,

Hai bangsaku aku tahu usulmu jatuh disegala ceruk rantau alam ini ,

Jatuh diutara jatuh diselatan jatuh ditimur dan di barat ,

Janganlah duduk tunggu jaga mengilas siku ,

Hai bangsaku aku mintamu pindah balik segala kekuatan segala peradaban segala kebenaran segala keagungan dan segala – galanya memuliakan dan meneruskan kegemilangan biarlah utuh diuji zaman berzaman itulah asalmu ,

Tapak mu bersenang masa kita dan akan datang aku hendak minta kepada mu pulang pulih seperti keadaan asal sebab belum cukup belum genap belum sampai ajal ,

Bukan kuasa aku tapi dengan kuasa Allah berkat kita kata….

“ LA ILAHA ILLALLAH ”

A.Aziz Deraman ……